Jika Cinta Tidak Direstui Keluarga



Tidak mendapat restu keluarga kekasih memang menjadi satu masalah dalam sebuah percintaan. Sebab tidak menyukai atau tidak memberi restu kepada calon menantu ini boleh menganggu kelancaran hubungan anda dengan bakal suami atau isteri.
Biasanya masalah tidak disukai keluarga kekasih sering berpunca daripada perbezaan taraf kehidupan, taraf pendidikan, rupa paras dan sebagainya.

Nampaknya cinta semata-mata tidak memadai atau mencukupi untuk mereka menghadapi sebuah perkahwinan yang penuh dengan duri itu. Ini semakin menghimpit jika kedua-dua belah pihak keluarga dan rakan-rakan tidak memberi sokongan moral malahan turut bersikap menjatuhkan.

Anda juga tidak pernah dijemput dalam acara atau majlis-majlis penting yang diselenggarakan keluarga si dia. Sehingga membuat anda dan si dia tidak tahu apa yang patut dilakukan, samada meneruskan perhubungan terlarang ini atau berpisah sahaja kerana tuntutan pihak keluarga pasangan yang amat melampau.

Akhirnya pilihan memang bergantung kepada keputusan anda berdua. Apalagi kalau anda sudah nekad merancang untuk tetap meneruskan hubungan itu hingga ke jinjang pelamin. Jangan gelabah atau membebankan pasangan dengan meletakkannya di antara dua pilihan.

Cara terbaik adalah dengan menyelesaikan masalah itu secepatnya. Jika sudah mengambil keputusan untuk menikah, sudah tiba masanya keluarga pasangan masing-masing mengetahui lebih jauh mengenai calon menantunya. Memang bagi keluarga yang mementingkan kedudukan sukar untuk meminta mereka menerima diri anda seadanya.

Dia juga mungkin berasa malu kerana belum berjaya memujuk keluarganya agar menerima anda dalam keluarga mereka. Sebaik-baiknya bincangkan masalah ini dari hati ke hati. Katakan pada pasangan betapa bangganya anda terhadap dirinya kerana tetap memilih anda sebagai kekasihnya walaupun mendapat tentangan hebat dari keluarganya.

Jelaskan kepada si dia, berikan sekali lagi kesempatan kepada keluarga untuk mengenal anda berdua dengan lebih lanjut. Bukankah ada pepatah mengatakan “Tak Kenal Maka Tak Cinta”. Jadi, biarkan mereka mengetahui dengan lebih jauh siapa anda sebenarnya. Dalam hal ini, kesabaran anda memang amat dituntut.

Ingatkan kembali kepada si dia jika keluargany masih bersikap negatif terhadap diri anda, kerana itu akan menyakitkan diri anda meskipun kekasih masih setia di samping anda. Jika anda dan kekasih sama-sama memiliki ketabahan dan percaya diri, cari orang yang bersimpati dengan anda dan dikenali oleh keluarganya. Bantuan orang ini barangkali boleh membantu mencairkan masalah anda dengan keluarga kekasih. Sebagai orang muda, anda bebas untuk saling mencintai, menikmati indahnya bunga-bunga cinta dan jangan mudah putus asa dengan berfikir yang bukan-bukan. Namun apabila sudah nekad untuk mendirikan rumahtangga pastikan ketika itu anda berdua sudah mendapat restu daripada keluarga kedua-dua pihak, sebab rumahtangga yang tidak direstui keluarga sering dilanda badai yang tidak terduga.




Biarpun di dadaku hanya ada kamu tetapi cinta pun bukan segala-galanya. Kita tidak boleh korbankan semuanya hanya kerana cinta. Belajarlah menerima kenyataan, jika cinta yang
sudah anda pertahankan dengan sepenuh hati tetapi tetap tidak mendapat restu. Percayalah masih ada dada cinta lain yang boleh anda sandarkan kasih sayang.

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...